Sumardi Shukor

(Pengasas di Software Machine Development)

Views : 175

sumardiGI

1. Perkenalkan diri anda dan apa yang anda lakukan?

Hi, nama saya Sumardi Shukor, seorang pembangun aplikasi web dan iOS yang berasal dari negeri dibawah bayu, Sabah. Menulis kod, membangunkan perisian dan bereksperimen dengan benda baru ialah fokus saya. Saya sangat fasih menulis dalam bahasa pengaturcaraan PHP dan Objective-C. Saya juga berpengalaman lebih 8 tahun mengendalikan kursus pengaturcaraan secara bebas dan sepenuh masa serta pernah menyampaikan ceramah di beberapa seminar dan persidangan IT diseluruh negara.

Selain daripada kerja pengaturcaraan, saya banyak menghabiskan masa lapang dengan bermain badminton, membaca banyak buku dan memiliki minat yang mendalam terhadap seni fotografi. Saya juga peminat tegar kelab bola sepak inggeris, Manchester United.

Lebih lanjut mengenai saya di https://about.me/sumardi.

 

2. Apakah perkakasan yang anda gunakan?

Buat masa ini, saya menggunakan Macbook Air 11”. Ianya sangat ringan untuk di bawa ke mana sahaja saya pergi, ditambah lagi dengan ketahanan bateri melebihi 8 jam menyebabkan Macbook Air ialah laptop pilihan dan kegemaran saya setakat ini. Semasa membuat kerja pengaturcaraan, saya akan pasangkan dengan monitor tambahan yang lebih besar. Saya juga memiliki Macbook Pro 13” untuk kerja lain seperti penyuntingan foto dan video. Saya gunakan Linux pada laptop Thinkpad X41.

Peranti mudahalih utama yang saya gunakan dan sentiasa di bawa ke mana sahaja ialah iPhone 5 32GB dan iPad Mini 64GB. Selain itu, saya juga memiliki iPhone 4 dan iPad 2 untuk tujuan pembangunan aplikasi iPhone dan iPad. Saya menggunakan Apple TV dan PS3 untuk hiburan dimasa lapang. Kamera digital kegemaran saya ialah Nikon D3.

Saya juga sedang bereksperimen dengan Arduino, Raspberry Pi dan Bluetooth LE Shield untuk beberapa idea projek akan datang.

 

3. Bagaimana pula dengan perisian yang sering digunakan?

Saya ialah peminat sistem operasi Linux. Bermula dengan Fedora pada tahun 2002, beralih kepada Gentoo tahun 2006 dan kemudian pada tahun 2009 sehingga kini saya masih menggunakan Debian pada laptop Thinkpad. Bagi production server saya gemar menggunakan sistem operasi Linux berasaskan RPM seperti CentOS.

Saya mula aktif membangunkan aplikasi iOS pada tahun 2009 dan memiliki Macbook pertama pada tahun 2007. Bermula dari situ dan sehingga sekarang, sistem operasi utama yang saya gunakan sepenuh masa ialah OS X yang dipasang dengan MacPort dan Homebrew.

IDE yang sering saya gunakan untuk membangunkan aplikasi iOS ialah Xcode dan AppCode. Bagi kerja pengaturcaraan lain seperti PHP, Javascript dan lain-lain, saya telah beralih daripada Eclipse kepada Sublime Text. Selain daripada perisian tersebut, saya juga sering menggunakan Terminal, SourceTree untuk Git, Dash, TestFlight, CodeKit, Sequal Pro dan Alfred App bagi kerja pembangunan.

Perisian yang saya gunakan untuk penulisan ialah LibreOffice, Google Docs dan Marked. Saya juga menggunakan Keynote dan OmniGraffle untuk persembahan teknikal, ScreenFlow untuk rakaman skrin (screencast). Terdapat beberapa perisian lain yang saya gunakan untuk kerja harian saya lebih produktif seperti : LastPass, Dropbox, Google Drive, Sparrow, Spotify dan Evernote. Saya menggunakan 95% daripada masa saya melayari Internet atau pembangunan aplikasi web dengan menggunakan Google Chrome, dan lagi 5% dengan menggunakan lain-lain browser kecuali IE.

Di dalam peranti iOS saya, perisian yang wajib ada ialah seperti : Calendars 5, Flipboard, Mailbox, Dropbox, LastPass, Spotify, Evernote,Waze dan Google Authenticator.

 

4. Apakah perkakasan/perisian impian anda?

Perkakasan impian saya ialah Google Glass versi telepati yang boleh membaca fikiran saya dan menulis aplikasi yang saya fikirkan tanpa perlu menaip aturcara tersebut. Saya ingin memiliki Google Glass versi sekarang untuk tujuan pembangunan.

Saya juga berminat untuk memiliki peranti Android dan mungkin akan memilih Google Nexus 5 sebagai peranti Android pertama saya.